.

Pencarian

Loading...

Tazkirah: LARANGAN BERPUTUS ASA

Menurut sebuah riwayat dari Anas bin Malik, pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya;

" Janganlah salah satu dari kamu meminta mati kerana kesukaran hidup yang menimpanya. Jika memang sangat perlu dia berbuat demikian, maka ucapkan doa sebagai berikut, 'Ya Allah, panjangkanlah umurku kalau memang hidup adalah lebih baik bagiku, dan matikanlah aku manakala memang kematian lebih baik bagiku'. "
HR Bukhari-Muslim

Islam melarang berprasangka buruk terhadap Allah dan berputus asa dari rahmatNya. Dalam Surah An-Nisaa' Ayat 29 melarang bunuh diri, kerana Tuhan adalah Maha Penyayang kepada makhluknya. Juga dalam Surah Al-An'aam Ayat 151 dan Surah Al-Isra' Ayat 31, Allah melarang dengan tegas membunuh anak-anak kerana takut kemiskinan dan kemelaratan.

Dalam peristiwa lain, Rasulullah SAW pernah berkunjung kepada seorang yang terlalu menderita sewaktu sakaratul menghadapi kematian. Rasulullah kasihan melihat penderitaan dahsyat pada akhir hayat orang itu. Lalu terjadilah dialog antara Rasulullah dan dia.

Kata Rasulullah;
" Apakah pernah anda memohon sesuatu kepada Allah?

Dia menjawab;
Pernah. Saya meminta kepada Allah supaya segala seksaan yang akan saya terima di akhirat nanti biarlah disegerakan di dunia ini juga.

Rasulullah bersabda;
Subhanallah, pasti anda tidak akan kuat menanggungnya. Bukankah saya sudah mengajarkan doa yang bunyinya, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari seksa neraka'. "
HR Imam Ahmad

Dalam Surah Al-Ankabut Ayat 2 dan 3 dijelaskan bahawa orang-orang yang beriman akan diuji dengan berbagai cubaan dalam kehidupan ini.

Ibnu Abi Dunya meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda;
" Tiap-tiap bencana apa pun yang menimpa seorang Muslim, sekalipun satu duri, adalah kerana salah satu dari dua sebab. ( Iaitu ) kerana Allah hendak mengampuni dosa kesalahannya yang tidak dapat diampuniNya melainkan dengan cubaan itu, atau kerana Allah hendak memberinya suatu kehormatan yang tidak mungkin dapat dicapainya melainkan dengan cubaan itu."

Dalam kaitan ini dapat difahami kenapa eutanasia dilarang dalam Islam. Menurut hukum agama dan moraliti, eutanasia sama dengan tindakan pembunuhan.

Almarhum Dr. H. Ali Akbar dalam buku Etika Kedoktoran dalam Islam menyatakan, " Islam mewajibkan doktor mengubati untuk meringankan dan menyembuhkan penderitaan si pesakit dengan segala usaha, sampai ia sembuh atau mati. Eutanasia adalah pembunuhan yang dilarang oleh Allah SWT, baik atas permintaan sendiri, mahupun kerana hendak meringankan penderitaan si pesakit kerana Allahlah yang mempunyai hak mematikan. "

Pada Surah Yusuf Ayat 87, Allah SWT mengingatkan pesanan Nabi Yakub kepada anak- anaknya tatkala hendak berangkat ke Mesir untuk mencari Yusuf, " Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir. "

Allahualam...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails