Tazkirah: Nasihat Luqman penuh makna tersirat

LUQMAN Al-Hakim ialah seorang Islam yang zuhud dan warak. Beliau hidup ketika zaman Nabi Daud.

Wasiat dan nasihatnya yang mengandungi falsafah tersirat dan tersurat banyak dijadikan pedoman dan panduan berguna kepada umat manusia.

Luqman pernah berkata kepada anaknya:

"Apabila perutmu penuh dengan makanan, akan matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu."

"Semua anggota badan akan menjadi malas untuk beribadah dan akan hilang kebersihan hati."

Katanya lagi : "Ikutlah mereka yang membawa jenazah dan kurangkan mengikuti jamuan perkahwinan kerana jenazah itu dapat mengingatkan kamu akan kesudahan daripada hidupmu di dunia ini. Majlis perkahwinan pula akan membangkitkan nafsu berahi dan menjadikan kamu senang dengan kehidupan dunia."

Luqman berkata : "Aku sudah memikul batu yang besar dan aku juga sudah mengangkat besi yang berat tetapi aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya.

"Aku sudah rasa kepahitan, tetapi aku belum pernah rasa sesuatu yang lebih pahit daripada kemiskinan dan kehinaan.

"Aku sudah pernah mengalami penderitaan dan pelbagai kesusahan dan kepayahan, tetapi aku belum pernah mengalami penderitaan yang lebih susah dan lebih payah daripada menanggung hutang."

Nasihat lain Luqman yang berguna untuk pedoman dan hidup kita, termasuk:-

l) Kamu hendaklah sentiasa berada dalam majlis ulama dan dengarlah kata-kata hukama (orang yang bijaksana). Hal ini kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat seperti Dia menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

2) Berkawan dan hampirilah ulama serta duduk dan ziarahilah rumah mereka agar kamu akan menjadi seumpama mereka. Sentiasalah bersama-sama mereka dan tumpanglah kebaikan mereka. Kemungkinan besar apabila Allah menurunkan kebaikan kepada mereka, kamu turut merasakan nikmat itu.

3) Sekiranya engkau seorang yang soleh, jauhilah dirimu daripada orang yang buruk budi pekerti dan keras kepala kerana ditakuti apabila diturunkan bala Allah, engkau turut menjadi mangsanya.

4) Janganlah engkau menjadi lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari, sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

5) Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang bila-bila masa saja.

6) Dunia ini bagaikan lautan dalam yang mana sudah ramai diteggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah takwa sebagai kapalnya dan iman pula sebagai air yang menyirami tanaman.

7) Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air yang menyirami tanaman.

8) Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan iaitu:

i) Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah.
ii) Orang yang berani melainkan ketika berperang.
iii) Saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripada mereka.


9) Sesungguhnya dunia ini sedikit saja, sedangkan keseluruhan umurmu lebih sedikit daripada itu. Sementara, umurmu yang masih lagi berbaki amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.


10) Tanda-tanda seorang pendengki itu ada tiga iaitu:

i) Mengumpat kawannya apabila ketiadaan kawan mereka.
ii) Memuji-muji kawannya apabila berada bersama mereka.
iii) Gembira jika kawannya ditimpa bala.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails