Tazkirah: Miskin atau kaya ujian Allah

Firman Allah s.w.t.: Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu
dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata:

"Tuhanku Telah memuliakanku". Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu
membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku menghinakanku".
(Al-Fajr: 15-16).

Meneliti kandungan ayat di atas Allah s.w.t. telah memandu kita dalam
memahami situasi kehidupan manusia dengan lebih tepat dan betul. Ini
kerana sememangnya manusia sering menyalah tafsir apa yang terjadi di
sekelilingnya. Antara perkara yang disalah tafsirkan ialah soal kaya
dan miskin, senang dan susah.

Dua ayat dari surah Al-Fajr di atas secara jelas telah mendedahkan
tentang dua kumpulan manusia yang selalunya wujud dalam masyarakat.
Golongan itu ialah:

Pertama: Golongan yang dikurniakan kekayaan. Golongan ini adalah
lapisan masyarakat yang hidup dalam keadaan serba mewah dan memiliki
wang yang serba cukup untuk membeli apa sahaja yang terlintas di
fikiran mereka. Mereka mendakwa bahawa nikmat kekayaan yang dimiliki
adalah merupakan tanda kemuliaan dan rahmat Tuhan kepada mereka.

Oleh itu biasanya golongan ini sentiasa mempamerkan kelebihan mereka
dari aspek material sama ada kenderaan, pakaian, makanan dan tempat
kediaman mereka. Mereka juga hidup di kawasan yang setaraf dengan
mereka dan jauh dari golongan miskin.

Termasuk di dalam golongan ini ialah mereka yang dikurniakan kedudukan
dan kemenangan dalam merebut jawatan pemimpin sesebuah organisasi
mahupun negara. Mereka mendakwa kedudukan tinggi ini adalah hasil
kebenaran yang dibawa. Pihak yang kalah pula didakwa sebagai tanda
kesalahan dan tiadanya perkenan dari Tuhan.

Daripada aspek sebuah masyarakat dan negara, kekayaan dan sumber alam
yang melimpah ruah juga didakwa sebagai lambang rahmat dan punca
kemajuan negara. Justeru para pemimpin seringkali mengaitkan kekayaan
tersebut sebagai bukti kebaikan dan kebijaksanaan memerintah negara.

Namun demikian Allah s.w.t. telah membetulkan persepsi di atas dengan
firman-Nya yang bermaksud: Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya
lalu dia dimuliakan-Nya dan diberikan kesenangan, Maka dia akan
berkata: "Tuhanku telah memuliakanku". (Al-Fajr:15).

Ayat ini menjelaskan tabiat majoriti manusia yang menilai kekayaan dan
kesenangan yang dimiliki sama ada dari aspek material mahupun pangkat.
Ia menjadi satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka,
sedangkan semuanya adalah merupakan satu ujian kepada mereka.

Apakah kekayaan itu diurus berpandukan syariat Allah atau sebaliknya?
Seperti yang dihuraikan oleh Dr Wahbah Az-Zuhaili di dalam tafsirnya
Al-Munir. Allah s.w.t. menempelak mereka yang membuat dakwaan seperti
di atas. Kerana pada hakikatnya kemuliaan di sisi Allah bukanlah
diukur dari sudut kekayaan tetapi diukur menurut ketakwaan dan
keimanan seseorang seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di
dalam tafsirnya.

Jika kaya sepatutnya seseorang itu bersyukur dengan menambahkan amal
kebajikan dan ibadah seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Katsir r.h di
dalam tafsirnya. Ini kerana kekayaan dan kesenangan biasanya akan
menghanyutkan manusia dan membawa mereka kepada kekufuran.

Aniaya

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Qarun. Akibat dari kekayaan
melimpah ruah yang dikurniakan kepadanya telah menjerumuskannya ke
lembah kekufuran kepada Allah.

Firman Allah s.w.t., Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi
Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah
menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya
sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah)
ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga!
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu
membanggakan diri". Surah Al-Qasas :76

Juga apa yang berlaku kepada Firaun! Hasil segala kesenangan, kekayaan
dan kedudukan yang dimiliki menyebabkan ia kufur kepada Allah. Malah
dengan angkuh mengaku diri sebagai Tuhan yang amat berkuasa.

Sebagai muslim sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat kekayaan dan
kesenangan adalah ujian yang amat sukar untuk dihadapi oleh manusia.
Ini kerana biasanya golongan kayalah yang selalunya hanyut dengan
kehidupan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin keselamatan
harta benda mereka.

Dalam sejarah kebangkitan Islam kita dapati golongan yang paling kuat
menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w adalah datang dari kalangan
bangsawan dan mereka yang berkedudukan di dalam masyarakat. Ini kerana
kekayaan menyebabkan mereka sombong dan bongkak lantas tidak mahu
menerima kebenaran.

Kedua: Golongan kedua pula ialah golongan miskin. Biasanya golongan
ini mempunyai tanggapan bahawa kesempitan hidup dan kesusahan yang
menimpa mereka adalah merupakan satu bentuk penghinaan yang telah
ditakdirkan ke atas mereka.

Selalunya mereka akan merasa rendah diri, tidak mahu berusaha dan
sering meminta-minta. Akibat dari tanggapan sedemikian menyebabkan
adanya kalangan golongan miskin yang tidak mahu mengabdikan diri
kepada Allah kerana mereka buruk sangka kepada-Nya.

Justeru Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: Hampir-hampir kemiskinan
boleh membawa kepada kekufuran.

Allah telah menyatakan bahawa kemiskinan bukanlah tanda kebencian
Tuhan atau penghinaan tetapi ia merupakan satu bentuk ujian kepada
manusia. Sama ada ia dapat bersabar atau sebaliknya di dalam
berhadapan dengan ujian ini. Firman Allah s.w.t., Adapun bila Tuhannya
mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: "Tuhanku
menghinakanku". (Al-Fajr: 16).

Ujian berbentuk kemiskinan juga amat sukar dihadapi oleh manusia
kerana dengannya menyebabkan manusia terlalu bergantung kepada manusia
yang lain dan hilang pergantungan dengan Yang Maha Pencipta.

Kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu melakukan apa sahaja demi
mendapat sesuap nasi. Meskipun apa yang dilakukan adalah haram.
Kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang menurut apa sahaja kehendak
orang yang berkuasa ke atasnya meskipun jelas ia adalah bertentangan
dengan syariat Allah.

Di dalam sejarah tamadun manusia pemerintah yang kejam dan zalim
menjadikan kemiskinan sebagai senjata untuk mengongkong dan memeras
ugut rakyat agar terus memberikan sokongan kepadanya.

Kesimpulannya, kekayaan dan kemiskinan kedua-duanya adalah merupakan
ujian kepada manusia di dunia ini. Bagi yang kaya, kekayaan boleh
menghanyutkan mereka dalam arus kemurkaan Allah. Namun sebaliknya,
jika kekayaan digunakan sebaik-baiknya, ia boleh menjadi pendorong
kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Sebabnya, dengan kekayaan akan memberikan seseorang ruang
seluas-luasnya untuk bersedekah dan mendermakan harta ke jalan
meningkatkan syiar Islam. Kemiskinan pula boleh menjadikan seseorang
terdorong melanggar larangan Allah semata-mata untuk memperolehi harta
kekayaan.

Namun kemiskinan juga boleh menjadikan seseorang sentiasa insaf, ingat
kepada Allah dan bergantung dengan-Nya sepanjang masa. Malah
Rasulullah s.a.w amat suka berdampingan dengan golongan miskin kerana
ia boleh melembutkan hati dan menyuburkan sifat tawaduk dan rendah
diri.

* ZURIDAN MOHD. DAUD ialah Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan,
Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails