Mereka yang belum Islam sibuk mengkaji Islam sebelum dianuti.
Bagaimana pula kita yang mendapat Islam secara 'free' melalui
pewarisan genetik?
Di manakah tahap pengkajian dan kefahaman kita terhadap agama kita sendiri?
Muhammad Ibrahim Ravi peluk Islam selepas puas mengkaji
Oleh: ZUARIDA MOHYIN
JURUTERA Sistem Teknikal di Vallent Software System (Malaysia),
Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, Muhammad Ibrahim Ravi bin
Gobi, 36, dibesarkan dalam keluarga Hindu yang sederhana. Ayahnya
seorang pengurus ladang, manakala ibunya, suri rumah beserta dua adik
perempuan.
Akui Muhammad Ibrahim, sejak kecil beliau percaya kewujudan Tuhan dan
yakin Tuhan itu Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil dan amat
menyayangi ciptaan-Nya. Malah beliau juga percaya semua perkara dalam
penciptaan-Nya adalah logik (dapat diterima akal) dan rasional
(wajar).
Lantaran itu, timbul pelbagai persoalan yang mendesaknya untuk
mengkaji tentang agama Hindu, Kristian dan Islam.
Ikuti pengakuan beliau bagaimana hidayah Illahi menerpa sehingga
bertapak kukuh dalam hatinya pada pertemuan yang dirancang sebelum
Syawal lalu.
"Saya selalu tertanya-tanya, Tuhan dikatakan satu tetapi kenapa ada
banyak agama dan amalan yang bercanggah. Apa lagi, dalam agama Hindu
banyak amalannya bercanggah sesama sendiri dan ini mengelirukan. Jika
ditanya, jawapannya tidak memuaskan.
"Situasi ini membuat saya kurang selesa dan jarang pergi ke kuil. Bila
ditanya, saya jawab, Tuhan ada di mana-mana, tak perlu saya pergi ke
kuil untuk sembahyang. Selalunya, saya memandang ke langit bila berdoa
kepada Tuhan kerana saya percaya Tuhan ada di atas sana," katanya.
Pada usia 18 tahun, keinginan mengetahui perbezaan agama-agama lain
tercetus. Saya mula mencari dan membaca. Bermula dengan Hinduism
dengan membaca majalah Hinduism Today (bukan satu punca agama Hindu
yang betul), satu usaha yang tanpa arah dan memakan masa kerana saya
langsung tidak mengetahui tentang kitab-kitab dalam agama.
Alhamdulillah, peluang mengkaji lebih terbuka apabila saya melanjutkan
pengajian ke United Kingdom (UK) dalam bidang Kejuruteraan Electronik
di University of Brighton. Semuanya dilakukan menerusi Internet dan
buku-buku.
Baru saya sedar agama-agama ini mempunyai kitab mereka sendiri dan
mereka mengaku kitab itu adalah wahyu atau khabar yang dinyatakan oleh
Tuhan Yang Maha Kuasa.
Kitab agama Hindu yang terkenal dalam bahasa Sanskrit adalah Veda
(Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharaveda), Upanishad, Purana,
Manusmriti, Ramayana dan Bhagavad Gita manakala kitab Hindu yang
terkenal dalam bahasa Tamil adalah Thirumurai (Thevaram), Thirukural
dan Thirumantira.
Sementara itu, dengan bantuan paderi gereja Angelican di universiti,
beliau mempelajari agama Kristian menggunakan kitab Bible. Begitu juga
dengan agama Islam melalui Islamic Propagation Center International
(IPCI) di UK serta melalui buku-buku dan video Allahyarham Sheikh
Ahmed Deedat, Dr. Zakir Naik, Gary Miller (Abdullah Ahad Omar) dan
Harun Yahya.
Walaupun pada awalnya saya kurang memahami serta agak keliru kerana
tidak faham konsep Tuhan sebagai pencipta dan makhluk sebagai ciptaan
Tuhan, konsep wahyu (revelation) dan proses penurunan wahyu dan
pesuruh atau Nabi Tuhan.
Sekarang, setelah mengkaji kitab pelbagai agama, saya mula memahami
bahawa kitab-kitab agama lain juga diwahyukan oleh Tuhan yang Satu
cuma tidak semua kitab dipelihara oleh Tuhan dan hanya al-Quran sahaja
terpelihara.
Al-Quran juga memberitahu bahawa Tuhan mencipta manusia sebagai
khalifah, satu jawatan yang dikhususkan untuk mengawal agama Tuhan dan
mentadbir dengannya. Sehubungan itu, saya berpendapat Tuhan asalnya
memberi tanggungjawab pemeliharaan kitab kepada manusia tetapi manusia
gagal memelihara kitab-kitab kerana nafsu dan godaan syaitan. Oleh
itu, al-Quran adalah kitab yang terakhir dan memeliharanya.
Seperkara lagi yang saya keliru pada awalnya ialah tentang Tuhan dan
makhluk ciptaan Tuhan. Saya ingatkan setiap agama mempunyai Tuhan
masing-masing dan Tuhan mereka mencipta kaum-kaum mereka.
Jawapannya saya temui dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud: Hai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada sepasang lelaki
dan perempuan, dan menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak
supaya kamu saling kenal-mengenal.
Kebenaran ini dapat dilihat melalui kisah Adam di dalam kitab, Thasmad
Adama naamaasou Pathnee Havyavathee smritha (Sanskrit) bermaksud:
"Manusia bernama Adama (Adam) ingin bertemu dengan isterinya Havyavati
(Hava)" [Bhavishya Purana, Prathisarga Parva 4:28]
"Adam menamakan isterinya Hawa, kerana perempuan itu menjadi ibu
seluruh umat manusia." [Bible, Old Testament, Genesis 3:20]
Dan Kami berfirman: Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu di
syurga ini. (Al-Baqarah: 35)
Tuhan begitu teliti dalam penyusunan ayat supaya manusia dapat
perkhabaran- Nya dan keadilan ditegakkan. Firman Allah, Sesungguhnya
Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah. (Al-Nisa':
40)
Memang benar kata Tuhan, nama-nama tersebut merujuk kepada Tuhan yang
Satu. Perkataan Allah datang dari dua perkataan asas bahasa Arab,
iaitu Al dan ilah yang bermaksud satu-satunya dan yang patut disembah.
Maka, Allah bermaksud satu-satunya yang patut disembah, Tuhan kepada
semua makhluk, manusia (Islam dan bukan Islam), jin (Islam dan bukan
Islam), malaikat, binatang dan seluruh alam ini. Nama Allah juga
disebut di dalam Allo Upanishad dan Bible.
Tuhan (Allah) juga menjelaskan bahawa Dialah juga telah menghantar
nabi-nabi-Nya kepada semua kaum, menyeru mereka menyembah Tuhan yang
satu. Firman Allah: Dan bagi tiap-tiap kaum (yang lalu) ada Nabi yang
memberi petunjuk ke jalan yang benar. (Al-Ra'd: 7)
Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya
seorang Nabi pemberi ingatan dan amaran. (Fatir: 24)
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap umat (untuk
menyeru): Sembah Allah (sahaja) dan jauhilah Taghut (yang disembah
selain dari Allah). (Al-Nahl: 36)
Allah memberi pengakuan Rasul (Nabi) yang dihantar oleh-Nya akan
menyeru menyembah Tuhan yang satu, itulah kriteria untuk mengenal Nabi
Allah.
Bukti kebenaran kenyataan Tuhan di dalam al-Quran boleh ditemui di
dalam kitab Hindu dan Bible seperti berikut; "Ekam evad vitiyam"
(Sanskrit) dan "Dia hanya Satu dan bukan dua." [Chandogya Upanishad
6:2:1]. Nabi Musa berkata: "Saudara-saudara, ingatlah! Hanya TUHAN,
dan TUHAN saja Allah kita!" [Bible, Old Testament, Deuteronomy 6:4]
Akulah TUHAN, tak ada lainnya, Aku Allah Yang Maha Esa (Satu). [Bible,
Old Testament, Isaiah 45:5]
Dan al-Quran mengulangi kebenaran, Katakanlah: Dialah Allah, Yang Maha
Esa (Satu). (Al-Ikhlas: 1) dan Dan Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Esa
(Satu), tidak ada Tuhan melainkan Dia. (Al-Baqarah: 163)
Selepas menghayati kebenaran Allah, saya tertanya, mungkinkah Krishna,
Rama, Buddha adalah Nabi-nabi Allah dan kenapa nama-nama mereka tidak
disebut di dalam al-Quran. Sekali lagi, saya temui jawapannya: Dan
(Kami telah mengutuskan) Rasul-rasul yang telah Kami ceritakan tentang
mereka kepadamu dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan tentang
mereka kepadamu. (Al-Nisa': 164)
Dan sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang Rasul sebelum kamu, di
antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka
ada yang tidak Kami ceritakan kepadamu. (Ghafir: 78)
Allah juga mengaku bahawa Dia mengelar pengikut nabi-nabi dahulu
sebagai Muslim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang
Islam (Muslim) dari dahulu. (Al-Hajj: 78)
Maha suci Allah tidak jemu memberi tunjuk ajar kepada manusia.
Walaupun jarak di antara kitab-kitab ini beratus dan beribu tahun
bezanya tetapi Tuhan mengulangi kebenaran supaya manusia terselamat.
Saya sedar betapa sayangnya Tuhan kepada kita.
Bila dikaji sejarah, kuil Hindu pertama dibina 2000 tahun selepas
wahyu diturunkan. Sama juga dengan Buddha, patung pertama dibuat
selepas 500 tahun pemergian Buddha. Konsep Tuhan 3 dalam satu di dalam
Bible wujud selepas 325 pemergian Nabi Isa (Jesus). Maka dalam tempoh
sebelum penyelewengan, manusia memang beribadat dengan cara yang
betul.
Terlalu banyak persamaan antara agama dari segi hukum seperti
pengharaman arak, tidak boleh makan babi, wanita kena pakai penutup
kepala, puasa, zakat dan sebagainya tetapi kenapa amalan mereka
terpesong?
Setelah mengkaji, saya dapati punca utamanya adalah tidak faham proses
wahyu. Saya ketahui melalui kajian saya bahawa Allah menurunkan wahyu
melalui nabi-nabi-Nya. Pada waktu itu, bukan nabi yang berkata tetapi
Tuhan yang Maha Esa yang berkata. Manusia pada masa tersebut faham
perkara ini, sebab itulah mereka tidak menyembah nabi dan tidak
membuat patung berhala untuk nabi.
Selepas beberapa waktu, apabila mereka membaca kitab dengan tiada ilmu
mengenai proses penurunan wahyu, mereka menyalah anggap dan menyangka
Nabi itu mengaku Tuhan.
Sebenarnya ada ayat-ayat yang lain di dalam kitab yang menerangkan
bahawa nabi itu bukan Tuhan, tetapi sebab mereka keliru tentang ayat
yang bercanggah ini, maka mereka meninggalkannya.
Beginilah proses wahyu diturunkan, ada ayat-ayat yang menjelaskan satu
sama lain. Bila dikaji, jelas semua mereka adalah manusia, utusan
Tuhan yang Maha Tinggi.
Benarlah kitab-kitab lain tidak terpelihara sebagaimana al-Quran. Maka
wajarlah untuk kita mengikutinya.
Allah juga memberi jaminan bahawa al-Quran adalah petunjuk, dan Dia
tidak memaksa sesiapa tetapi menggalakkan manusia mengkaji kitab-Nya.
Dia juga sediakan banyak fakta sains yang boleh kita kaji dan pastikan
kebenarannya, supaya boleh kita percaya kepada wahyu yang diturunkan
kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ini terbukti dalam firman Allah bermaksud: Kitab (al-Quran) ini tidak
ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Al-Baqarah:
2)
Hal ini diperkukuhkan lagi dengan firman Allah yang bermaksud: Tidak
ada paksaan dalam agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang
benar daripada jalan yang salah. [Al-Baqarah: 256]
Proses mencari kebenaran ini mengambil masa sekitar sembilan tahun
sehingga saya tidak ada lagi timbul keraguan. Sekembali dari UK, saya
teruskan kehidupan dengan agama asal sehinggalah pada 23 September
2003 saya melafazkan syahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (Jawi). Itupun selepas mendalami Islam dari segi amal
ibadat kira-kira enam bulan sebelum pengislaman.
Pada waktu itu kegembiraannya sukar digambarkan dengan kata-kata dan
semacam perasaan terselamat. Keyakinan saya bertambah kuat apabila
sesuatu yang mustahil berlaku itu dimakbulkan Allah. Namun, sebagai
manusia kita perlu sentiasa beringat dan menerima setiap ujian-Nya
kerana kejayaan mengharunginya, menjadi kemanisan Islam.
Saya mengambil masa dua tahun untuk memberitahu keluarga dan apabila
semuanya terlerai, ia menjadi kejutan besar buat mereka.
Saya melihat kini tidak ramai daripada kalangan mualaf yang menjadi
pendakwah. Oleh itu, ruang inilah perlu diisi dan ada keperluannya.
No comments:
Post a Comment