Tazkirah: Hasad Dengki & Iri Hati


Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya dari Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

"Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat (kebaikan) sebagai mana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah dari Abbad bin Ishaq dari Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

"Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorang pun iaitu:

- Buruk sangka
- Hasad dengki
- Takut sial kerana sesuatu

Lalu ditanya:

"Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat dari semua itu?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.:

"Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)." Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah s.w.t. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika su'udhdhan (buruk sangka) maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan mundur."

Nabi Muhammad s.a.w. suka kepada fa'al (kata-kata yang baik atau harapan yang baik) dan tidak suka thiyarah (takut sial kerana burung dan sebagainya) dan bersabda: "Thiyarah itu perbuatan jahiliyah." Seorang mukmin tidak takut dan berlindung kepada Allah s.w.t.

Ibn Abbas r.a. berkata:
"Jika kamu mendengar suara burung maka bacalah:
"Allahumma la thoira illa thairuka walaa ilaha ghoiruka walaa haula walaa quwwata illa billahi."
Yang bermaksud: "Ya Allah, tidak ada burung kecuali burungMu dan tidak ada kebaikan kecuali daripadaMu dan tiada Tuhan kecuali Engkau dan tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah."
Dan teruskan maksudmu, maka tidak akan ada sesuatu yang berbahaya bagimu. Bi idz nillah.


Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Jangan benci membenci dan jangan hasud-menghasud dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara."

Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya:
"Hai anak, hati-hatilah dari hasad dengki kerana ia akan nyata pada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata pada musuhmu."

Abul Laits berkata:
"Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasud (iri hati), sebab penghasud itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasud iaitu:

1. Risau hati yang tak putus-putus
2. Bala yang tidak berpahala
3. Tercela yang tidak baik
4. Dimurka Allah s.w.t.
5. Tertutup padanya pintu taufiq

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya."
Ditanya:
"Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasud terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Malik bin Dinaar berkata:
"Saya dapat menerima persaksian orang qurraa' terhadap siapapun tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurraa' sebab diantara mereka ada rasa iri hati dan hasud menghasud."

Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Enam kerana enam akan masuk neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu:

1) Pemerintah kerana zalim
2) Orang kerana fanatik (mengutamakan kebangsaan)
3) Kepala desa kerana sombong
4) Pedagang kerana kianat
5) Orang dusun kerana kebodohan
6) Ahli ilmu kerana hasutan

Yakni ulama yang hanya berebut dunia, mereka hasut satu sama lain, kerana itu seharusnya seseorang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. dan akhirat supaya tidak timbul hasut menghasut antara satu pada yang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai orang-orang Yahudi (Yang berbunyi):
"Am yahsudunan naasa ala maa ataahumullahu min fadhlihi."
Yang bermaksud:
"Ataukah mereka hasud pada orang-orang kerana Allah memberikan kurniaNya kepada mereka."


Bacaan lanjut di http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/hasaddengki.htm

Tazkirah: Sombong



Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Tidak akan masuk syurga, siapa yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah kesombongan."

Maka seseorang berkata:

"Bagaimana dengan seseorang yang suka memakai baju dan selipar yang cantik?"

Maka berkata Rasulullah:

Sesungguhnya Allah itu maha indah dan cinta pada keindahan (maksudnya, pakaian indah tidak selalu bererti kesombongan). Alkibr(kesombongan) itu adalah menolak kebenaran dan memandang rendah remeh orang lain."
(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak
ditegur Allah, tidak disucikan, dah tidak diperhatikanNya kelak di hari
kiamat, dan mendapat seksa yang pedih iaitu: orang tua yang tetap
berzina, penguasa (pemimpin) yang dusta, dan fakir yang sombong." -
(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa merasa dirinya besar, atau angkuh dalam berjalan, dia akan
berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya."

(Hadis riwayat Muslim)

~'~'~

AlSurah al-Qashash; ayat 83; Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Negeri Akhirat itu (kebahagiannya dan keni'matannya) Kami jadikan untuk
orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di
muka bumi."

Surah Luqman; ayat 18; Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang
yang sombong lagi membanggakan diri."

Tazkirah: Bergurau Senda


Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling, biasanya kawan-kawan. Mana ada orang yang bergurau dengan dirinya sendiri, betul tak? Maknanya, bila kita bergurau senda, secara tak langsung ia akan melibatkan perasaan orang lain yang mendengar gurauan kita.


Biasanya, orang bergurau untuk menceriakan suasana. Takkan nak buat muka serius sepanjang masa. Macam kebanyakan orang mengatakan, “Hidup mesti ceria”.


Tapi, mari kita teliti, apa yang selalu ada dalam sesebuah gurauan? Lawak yang direka-reka, cerita yang dibuat-buat, perli memerli dan kata mengata antara satu sama lain. Itu antara yang biasa saya temui. Jarang sekali orang bergurau tapi dalam masa yang sama dia tak menipu. Tak sah kalau bergurau, dia tak mengata-ngata (secara bergurau) kat orang lain.


Kebanyakan kita menganggap gurauan adalah perkara biasa. Ada juga yang menyangka menipu dibolehkan ketika bergurau sebab tak membahayakan orang di sekeliling kita. Saya juga pernah menganggap begitu kerana merasakan apa yang kita guraukan hanya mainan semata-mata, bukan betul-betul, dan bukan niat untuk betul-betul berbohong.


Betulkah persepsi macam ni?


Banyak Ketawa Mematikan Hati

Pernahkah anda lihat orang yang ketawa terbahak-bahak, sampai katanya nak pecah perut dan sampai tak cukup udara nak bernafas? Apa yang kita fikir? Pastinya orang tu baru saja lihat atau dengar satu jenaka atau gurauan yang sangat menggelikan hati. Betul tak?


Kita akan ketawa apabila ada sesuatu yang menggeletek hati. Ya, itu memang sesuatu yang normal. Tapi, hakikatnya, di situlah akan timbulnya masalah. Gurauan yang melampau-lampau akan menyebabkan kita banyak ketawa.


Dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin karangan Imam Ghazali, beliau menyenaraikan senda gurau sebagai salah satu unsur bahaya yang dibawa oleh lidah. Kata beliau,

“Asalnya senda gurau itu tercela dan terlarang, kecuali sekadar sedikit yang dapat dikecualikan daripadanya.” [1]

Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W.:
Maksudnya: “Jangan engkau berbantahan dan bergurau dengan saudaramu!”






Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih-lebihan. Kenapa? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa. Dan banyak ketawa akan mematikan hati. Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri. Kata Imam Ghazali,

“Adapun berlebih-lebihan pada bergurau, maka akan mempusakai banyak tertawa. Dan banyak tertawa itu mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada sesetengah keadaan. Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan. Dan apa yang terlepas dari hal-hal tersebut, maka tidak tercela,” sebagaimana diriwayatkan dari Nabi S.A.W. bahawa baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [2]



Kita biasa dengar,

“Isy dia ni. Ketawa sampai tak ingat dunia!”


Hakikatnya begitulah keadaan orang yang ketawa berlebih-lebihan. Larut dalam dunia ketawanya. Sampai lupa dan tak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Dan lebih parah lagi, ketawanya itu juga menunjukkan kelalaian dari mengingati akhirat.

Nabi S.A.W. bersabda:
Maksudnya: “Jikalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya pasti kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” [3]




Nilai Gurauan vs Nilai Persaudaraan

Ketawa memang seronok. Tapi menjadi bahan ketawa sangat menyakitkan hati. Hakikatnya, itulah yang selalu ada dalam sesebuah gurauan - mentertawakan orang lain.


Kita mungkin sekadar main-main, kata orang menyakat. Tapi, siapa tahu apa yang dirasai ‘watak utama’ kisah gurauan tersebut?


Mungkin tak kisah, mungkin marah, mungkin kecil hati dan mungkin terus tak bertegur sapa.


Gurauan yang dianggap sekadar main-main boleh menjadi bibit kepada pergaduhan, pertengkaran, tak bertegur sapa dan permusuhan yang berpanjangan antara sesama Muslim. Begitu murahkah nilai persaudaraan dalam Islam sehingga kita sanggup menggadaikannya dengan kata-kata gurauan dan mainan yang langsung tiada nilai di sisi Allah?

Rasulullah S.A.W. sendiri telah memberi amaran dalam sabda baginda:
“Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan suatu perkataan untuk mentertawakan teman-teman duduknya, akan jatuh dalam api neraka, lebih jauh dari bintang surayya.”




Jujur dalam Berjenaka dan Gurau Senda

Sedarkah kita, ketika bergurau senda dengan rakan-rakan, kita mungkin dah berbohong? Berbohong bukan maksud saya betul-betul bercakap bohong. Tapi, hanya sekadar cakap main-main; atau kata orang sekadar mengacah saja.


Soalnya, betul ke kita tak boleh menipu walaupun dengan hanya niat untuk bergurau? Nama pun gurauan, jadi kita bukan berniat untuk betul-betul menipu, hanya sekadar main-main dan tak memudharatkan sesiapa. Dan biasanya, last sekali, kita mesti akan cakap,

“Aku main-main je la…”

“Aku tipu engkau je tadi. Saja nak tengok macam mana reaksi engkau.”


Kalau diikutkan logik akal pendek kita, mungkin pandangan tu nampak macam betul. Tapi, mari kita teliti sabda Rasulullah S.A.W. :

“Hendaklah kamu jujur. Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan. Dan kebaikan menunjuk kepada syurga. Seorang lelaki terus jujur dan mencari kejujuran sehinggalah dia dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang sangat jujur. Berwaspadalah terhadap dusta. Sesungguhnya dusta menunjuk kepada kejahatan. Dan kejahatan menunjuk kepada neraka. Seorang lelaki terus berdusta dan mencari pendustaan sehingga dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang sangat berdusta. [4]

“Celakalah orang yang memperkatakan sesuatu agar orang lain ketawa, lalu dia berdusta. Celakalah untuknya. Celakalah untuknya.” [5]



Apa pun tujuan kita, pendustaan sesekali tidak dibenarkan walaupun hanya untuk bergurau dan berjenaka. Islam mengharuskan gurau senda, keceriaan dan hiburan jiwa, tetapi tidak menjadikannya sebagai pembuka jalan kepada kita untuk berdusta.


Jadi, kalau nak bergurau, pastikan gurauan kita tak ada unsur-unsur penipuan dan pendustaan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bersenda gurau dan aku tidak mengatakan, selain yang benar.” [6]





Macam mana cara yang betul untuk bergurau? Mari kita susuri sirah Nabi Muhammad S.A.W., bagaimana cara baginda bergurau senda dengan orang-orang di sekeliling baginda.

Suatu hari, seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah S.A.W., meminta tunggangan daripada baginda kerana hendak pulang ke negerinya. Apabila Nabi mendengar permintaan lelaki itu, baginda bersabda: “Sesungguhnya aku akan menunggangkanmu di atas anak unta.” Padahal, pada waktu itu Nabi berkata demikian hanya dengan tujuan untuk bergurau.

Apabila lelaki itu mendengar kata-kata Nabi, dia merasa susah hati kerana memikirkan bagaimana anak unta yang kecil dan lemah boleh ditunggang untuk perjalanan yang jauh. Lalu, lelaki itu berkata, “Apa yang boleh aku buat dengan seekor anak unta? Kalau kamu berikan pada aku, tentulah menjadi beban dan hanya menambahkan kesusahan saja, sebab ia masih kecil dan tidak boleh ditunggang.”

Maka Rasulullah S.A.W. berkata, “Adakah yang melahirkan unta itu selain daripada unta betina? Maka itulah yang mahu aku berikan kepadamu iaitu unta besar yang asalnya dilahirkan oleh ibunya.” [7]




Lihat bagaimana cara Rasulullah S.A.W. menjaga adab-adab dalam bergurau senda. Baginda tidak sesekali menipu orang yang diajak bergurau, sebaliknya cara baginda ada ‘seninya’ yang tersendiri.


Apa yang saya perhatikan dalam kisah di atas dan beberapa kisah lain, Rasulullah menggunakan kaedah “double meaning” dalam gurauan baginda, iaitu satu kalimah tetapi mempunyai ataupun boleh difahami dalam dua maksud dan keadaan yang berbeza. Jadi, cara sebegitu akan mengelakkan kita daripada berbohong ketika bergurau.


Sayyidina Umar r.a. pernah berkata:
“Tahukah kamu mengapa dinamakan gurau senda (al-muzaah) dengan kata-kata al-muzaah?” (maksud asal al-muzaah: alih)...

Mereka itu menjawab: “Tidak!”

Maka Umar r.a. menjawab:
“Kerana senda gurau (al-muzaah) itu, mengalihkan orang yang bergurau daripada kebenaran.”


Jadi, berwaspadalah kita dalam setiap gurauan dan kata-kata kita. Setiap apa yang dituturkan oleh kita akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kita di akhirat kelak. Gurau senda mampu menghiburkan jiwa dan boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim, tapi andai tidak kena caranya, gurau senda boleh melontarkan kita ke dalam azab neraka.. Na'uzubillahi min dzalik.

Tazkirah: Sedekah yang pahalanya berterusan


Dari Abu Hurairah RA, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda :

”Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal iaitu amal jariyah , ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya ”
HR. Bukhari, dalam Adabul Mufrad).

Berikut contoh sedekah (amal jariah) , yang pahalanya terus mengalir walaupun si pemberi sedekah telah meninggal dunia :

1. Berikan Al-Quran pada seseorang , setiap saat Al-Quran tersebut dibaca, anda mendapatkan kebaikan.

2. Ajarkan seseorang sebuah doa . Pada setiap bacaan doa itu, anda mendapatkan kebaikan.

3. Sumbangkan kerusi roda ke Hospital dan setiap orang sakit menggunakannya, anda mendapatkan kebaikan.

4. Tanam sebuah pohon . Setiap seseorang atau haiwan berlindung dibawahnya atau makan buahnya, anda dapat kebaikan.

5. Tempatkan pendingin air di tempat awam .

6. Edarkan bacaan yang membangun dengan seseorang.

7. Libatkan diri dalam pembangunan masjid .

8. Edarkan CD Quran atau Doa .

9. Bantulah pendidikan seorang anak .

10. Edarkan pengetahuan ini dengan orang lain . Jika seseorang menjalankan salah satu dari hal diatas, Anda dapat kebaikan sampai hari Qiamat.

Tazkirah: Doa Sewaktu Bersujud dan Keistimewaannya


Nasihat Yusof Al-Qardhawi...

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.

Sabda Rasullullah:

"Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."


Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah s.a.w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda
bersujud. Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:

"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat"

Mendengar itu para sahabat bertanya:
"Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"

Jawab baginda:
"Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"

Sahabat Menjawab:
"Bahkan !"

Rasulullah menyambung:
"Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"

KEISTIMEWAANNYA
Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud"

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

note: Gambar Yusof Al-Qardhawi diambil dari muhsinlabib.wordpress.com
Related Posts with Thumbnails