Solat Witir


Solat Witir adalah solat yang jarang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan adalah solat sunat yang dicintai Allah. Rasulullah s.a.w bersabda :
“Bersiwaklah kamu, jagalah kebersihan dan laksanakan solat witir kerana sesungguhnya ALLAH itu Zat yang Esa (ganjil) dan akan memberikan pahala bagi yang menunaikan solat ganjil (witir)”
~HR Abu Daud~
Peringatan daripada Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah:

Abu Hurairah berkata, kekasihku (Rasulullah s.a.w) telah menyampaikan wasiat  kepadaku tentang tiga hal, agar aku berpuasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Dhuha dua rakaat dan menunaikan solat witir sebelum tidur.
 ~HR Muslim~

Abu Hurairah tidak pernah meninggalkan solat witir selepas mendapat peringatan itu. Beliau tidak memandang remeh tentang solat witir meskipun itu hanyalah solat sunat. Abu Hurairah menganggap solat witir adalah wasiat daripada kekasihnya. Peribadi Abu Hurairah patut  kita jadikan teladan dan merasa seperti apa yang dirasainya.

Kita hendaklah menunaikan solat yang dicintai oleh ALLAH ini di mana pun kita berada selama ada waktu dan kesempatan. Tidak ada harapan yang patut kita panjatkan selain menjalankan apa yang digalakkan Rasulullah s.a.w dan mengharapkan keredhaan ALLAH.


Waktu Mengerjakan Solat Witir

Solat witir dikerjakan dari selepas Isyak hinggalah apabila waktu sahur tiba.

Sabda Rasulullah SAW:

“Bergegaslah mengerjakan solat witir sebelum tiba waktu subuh” 
~HR Al-Hakim~

Waktu yang paling utama ialah pertengahan malam, namun bagi seorang Muslim yang tidak mampu mengerjakan witir pada waktu ini, dia mendapat keringanan seperti mana hadis Nabi Muhammad SAW :

“Siapa yang takut tidak dapat bangun di akhir malam, maka hendaklah dia mengerjakan solat witir di awal malam. Tetapi solat di akhir malam itu disaksikan malaikat pembawa rahmat dan adalah lebih utama”

Pada zaman Nabi Muhammad SAW, terdapat dua golongan sahabat yang mengerjakan solat witir di awal malam dan di akhir malam. Golongan yang mengerjakan di awal malam dipelopori oleh Abu Bakar, Uthman bin Affan, Abu Hurairah dan Rafi’ bin Khudaij. Manakala kelompok berikutnya dipelopori oleh Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib, Ibnu Mas’ud, Abu Darda, Ibnu Abbas dan Ibnu Umar yang mengerjakan solat witir di akhir malam.

Namun begitu Rasulullah SAW tetap memuji kedua-duanya. Ini disebut dalam satu hadis daripada Abu Qatadah.

Sesungguhnya Rasulullah SAW bertanya kepada Abu Bakar.
“Bilakah kamu mengerjakan solat witir?” 
Abu bakar menjawab, 
"aku mengerjakan solat witir sebelum aku tidur."
Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Umar, 
“Bilakah kamu mengerjakan solat witir?”
Umar menjawab, 
"aku tidur terlebih dahulu dan kemudian mengerjakan solat witir." 
Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Abu Bakar, 
“Kamu memilih waktu dengan bijaksana.” 
Rasulullah SAW berkata kepada Umar,
“Kamu beramal sebagaimana orang kuat beribadah.”
Abu Bakar memilih waktu dengan bijaksana kerana dapat mengukur kekuatan, sekali gus menjaga diri daripada lalai. Umar turut dipuji oleh Rasulullah s.aw  kerana bukan semua orang kuat untuk bangun di tengah malam ketika rasa mengantuk menyelubungi diri apalagi untuk berdiri mengambil wudhuk dan mengerjakan solat witir. Hanya mereka yang kuat beribadah sahaja dapat melakukannya.

Kita sebagai umat Islam hidup masa kini mempunyai contoh yang baik daripada kalangan sahabat. Dua waktu yang mereka pilih adalah baik dan kita hanya perlu memilih bila untuk mengerjakannya sesuai dengan kemampuan. Itu lebih baik daripada meninggalkan terus.

Panduan Solat Witir

Bilangan Rakaat Solat Witir

Rasulullah SAW bersabda:
“Solat malam dikerjakan dengan dua rakaat –dua rakaat, jika salah satu daripada kamu takut akan datangnya waktu subuh, maka hendaklah dia solat satu rakaat, menjadikannya solat witir."
~Riwayat Muslim~
Ini bermakna  bagi witir 3 rakaat, ia bererti dua rakaat  kemudian salam, dan di tambah satu rakaat lagi. Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat witir adalah hak peribadi. Tiada masalah sama ada lima rakaat, tiga rakaat atau satu rakaat. Oleh sebab itu marilah kita berlumba mencari keredaan ALLAH melalui solat yang dicintaiNya. Makin banyak rakaat, tentunya makin bagus. Namun begitu satu rakaat pun jauh lebih bagus daripada tidak bersolat langsung.

Surah Bacaan Solat Witir

Menurut  hadis daripada Ali bin Abi Thalib, Rasulullah SAW menunaikan solat witir sebanyak tiga rakaat dengan membaca sembilan surah, iaitu daripada surah-surah pendek. Pada setiap rakaat, baginda membaca sebanyak tiga surah yang kemudian diakhiri dengan surah Al-Ikhlas.

Pilihan surah yang di baca oleh Rasulullah SAW adalah :
1. Surah Ar-Rahman dan Al-Waqiah
2. Surah Al-A’ala
3. Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas
4. Sembilan surah2 pendek

Rakaat pertama : Surah At-Takathur, Al-Qadr, Al-Zalzalah
Rakaat kedua : Surah Al-‘Ashr, Al-Fath, Al-Kautsar
Rakaat ketiga : Surah Al-Kafirun, Al-Lahab, Al-Ikhlas


Zikir selepas solat witir

“Subhanal Malikil Quddus”
Maha suci Zat Yang Menguasai, Zat yang Suci
Sebanyak 3x.

Zikir selepas witir mampu memberi ketenangan kepada hati, terutamanya menghilangkan kesedihan. Hakikatnya zikir adalah seperti suara yang memanggil-manggil, memohon dengan bersungguh-sungguh agar datangnya pertolongan ALLAH.

Berilah galakan kepada keluarga dan sahabat-sahabat untuk sama-sama menunaikan solat witir. Ibadah, sama ada solat atau ibadah lain adalah ajakan mulia yang penuh dengan pendidikan akhlak dan budi pekerti.

Ibnu Umar bahawa menegaskan solat witir bukanlah sekadar solat sunat biasa kerana jarang sekali Rasulullah SAW meninggalkan solat witir. Begitu juga para sahabat pada ketika itu.

Jika Rasulullah SAW dan para sahabat begitu teguh mengamalkannya , kita bagaimana?  Moga terus istiqamah..kunci utama untuk kekal istiqamah ialah dengan berusaha untuk ikhlas mencintai amalan tersebut.


~sumber: Yusni A.Ghazali (Mukjizat Qiyamullail)~

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails