Kisah Nabi Ibrahim dan Namrud


Kisah Nabi Ibrahim dan Namrud dalam bentuk animasi :

  
Bangsa Babilonia adalah bangsa yang tidak mempercayai Allah. Mereka menyembah bintang-bintang. Salah satu bintang yang disembah adalah bintang Marduk, iaitu bintang terbesar dalam pandangan mata mereka. Para imam pada masa itu membina kuil bagi Marduk. Selain itu mereka turut menyembah raja mereka pada masa itu iaitu Raja Namrud.

Raja Namrud adalah seorang yang angkuh dan zalim. Beliau berasa besar dengan kekuasaannya. Beliau benar-benar mengangkat dirinya sebagai tuhan yang perintahnya harus ditaati.

Suatu hari, dalam pertemuan agung dengan para peramal (tukang tilik), salah seorang daripada mereka meramalkan bahawa dalam tahun berkenaan akan lahir seorang bayi lelaki yang akan meruntuhkan kerajaan. Raja Namrud terus percaya dengan ramalan tersebut, lalu beliau mengarahkan tenteranya membunuh semua bayi lelaki yang lahir dan bakal lahir di Babilon pada tahun itu.

Sementara itu di suatu sudut di Kota Babilon, tinggal seorang pembuat patung terkemuka bernama Aazar. Beliau rasa sangat terpukul dengan perintah Raja Namrud kerana isterinya sedang sarat mengandung anak pertama dan menunggu saat untuk melahirkan. Dengan yang demikian, beliau membawa isterinya keluar dari Kota Babilon dan bersembunyi.

Setelah tentera menjalankan perintah, mereka melaporkan kepada Raja Namrud bahawa semua bayi lelaki di Kota Babilon telah dibunuh. Raja Namrud berpuas hati dan berasa aman.

Selepas beberapa tahun berlalu, anak lelaki Aazar yang dilahirkan secara sembunyi sudah membesar menjadi seorang anak yang kuat dan cerdas. Anaknya itu diberi nama Ibrahim.

Suatu hari, Ibrahim bertanya kepada ibunya tentang tuhan. Anak kecil itu sangat ingin tahu siapakah tuhan. Ibunya menjawab setiap persoalan yang diajukan namun anak kecil itu tidak berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diberikan. Banyak persoalan yang tidak terungkai bermain di kepalanya.

Ibrahim berjalan keluar dari gua tempat persembunyian mereka untuk mencari jawapan siapakah tuhannya. Setelah hari beransur malam, Ibrahim ternampak bulan mengambang. Dia beras sangat kagum dengan rupa bulan yang besar dan bercahaya. Difikirnya bulan itulah tuhannya. 

Setelah hari berganti siang, bulan pon hilang, timbullah pula sang matahari yang lebih besar dan cahayanya lebih terang sehingga menyinari alam. Difikirnya mataharilah tuhannya, bukan bulan. Namun setelah hari menjelang malam, matahari mula menghilang. Dia berfikir lagi, tidak mungkin matahari itu tuhan. Tuhan tidak mungkin pergi menghilang.

Ibrahim merenung setiap perkara yang ada di sekelilingnya dari hari ke hari, mencari siapakah tuhannya. Ibrahim telah mengamati semua yang ada di alam ini. Akhirnya Ibrahim membuat kesimpulan bahawa tuhannya adalah pencipta alam semesta, iaitu Allah yang Maha Esa.

Beberapa tahun kemudian, anak kecil itu sudah menjadi dewasa dan diangkat menjadi utusan Allah. Nabi Ibrahim kembali ke tempat asalnya iaitu Kota Babilon untuk menyeru kaumnya kembali kepada Allah dan meninggalkan sembahan patung-patung. Namun sebahagian besar kaumnya mengingkari seruan tersebut.

Suatu hari ketika seluruh penduduk Kota Babilon sedang berpesta, Nabi Ibrahim mengambil kapak lalu memusnahkan semua patung-patung yang disembah kecuali berhala paling besar iaitu Marduk. Nabi Ibrahim menggantungkan kapak yang telah digunakan itu pada Marduk.

Penduduk Kota Babilon menjadi gempar setelah melihat patung-patung yang mereka sembah telah dimusnahkan kecuali Marduk. Mereka berasa marah dan sepakat menuduh Nabi Ibrahim yang berbuat demikian. Mereka menangkap Nabi Ibrahim dan dipenjarakan.

Hari pengadilan ditentukan dan seluruh penduduk Kota Babilon datang berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan. Nabi Ibrahim disambut oleh para hadirin dengan teriakan kutukan dan cercaan ketika menghadap Raja Namrud. 

Raja Namrud bertanya kepada Nabi Ibrahim, 
"Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami?" 

Dengan tenang dan dingin Nabi Ibrahim menjawap,
"Patung besar  yang berkalungkan kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya."

Raja Namrud terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata,
"Engkaukan tahu bahawa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?" 

Tibalah masa yang dinantikan oleh Nabi Ibrahim untuk menjawab pertanyaan itu,
"Jika begitu, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudharat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan sembahan kamu itu! Tidakkah kamu berfikir dengan akal sihat bahawa sembahan kamu adalah perbuatan yang keliru oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hinanya kamu dengan sembahan kamu itu."

Raja Namrud tidak dapat menerima hujahan Nabi Ibrahim lalu membuat keputusan bahawa Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup sebagai hukuman. Maka berserulah para hakim kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu,
"Bakarlah dia dan tuntut bela untuk tuhan-tuhanmu, jika kamu benar-benar setia kepadanya."

Persiapan bagi upacara pembakaran yang akan disaksikan oleh seluruh rakyat diatur. Tanah lapang bagi tempat pembakaran disediakan dan diadakan pengumpulan kayu bakar dengan banyaknya dengan tiap penduduk bergotong-royong mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang dapat sebagai bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancur Nabi Ibrahim.

Setelah terkumpul kayu bakar tersusun laksana sebuah bukit, berduyun-duyunlah orang datang menyaksikan pelaksanaan hukuman Nabi Ibrahim. Kayu dibakar dan terbentuklah api yang dahsyat. Kemudian dalam keadaan terbelenggu, Nabi Ibrahim diangkat ke atas sebuah bangunan yang tinggi lalu dilemparkan ke dalam kayu yang menyala-nyala itu dengan iringan firman Allah:

"Wahai api, menjadilah dinginlah dan keselamatanlah bagi Ibrahim."
Nabi Ibrahim tetap menunjukkan sikap tenang dan tawakkal kerana yakin bahawa Allah tidak akan melepaskan hambaNya menjadi makanan api dan korban keganasan orang-orang kafir. Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api yang dahsyat itu. 

Peristiwa menakjubkan berlaku. Nabi Ibrahim merasa dingin dan hanya tali dan rantai yang mengikat yang terbakar hangus, sedang tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh api. Orang ramai tercengang dengan keajaiban ini dan mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud.

Kisah selanjutnya tentang kehancuran Raja Namrud boleh dibaca di sini.
 


No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails