Showing posts with label Sahabat - Saidina Ali. Show all posts
Showing posts with label Sahabat - Saidina Ali. Show all posts

Tazkirah : Kisah Saidina Ali dan Buah Delima


Dikisahkan oleh Ka’ab bin Akhbar.

Suatu ketika Saidina Ali bin Abi Thalib bertanya kepada isterinya yang sedang sakit iaitu Siti Fatimah Az Zahra, Puteri Rasulullah SAW; "Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?"
Lalu Siti Fatimah menjawab “Wahai Suamiku, aku ingin buah delima"

Saidina Ali termenung seketika kerana tidak memiliki wang untuk membelikan isterinya buah delima. Beliau segera bangun dan berusaha untuk mendapatkan wang satu dirham. Maka akhirnya Saidina Ali berjaya mendapatkan wang itu dan kemudian beliau terus pergi ke pasar. Setelah membeli sebiji buah delima, beliau segera pulang ke rumah.

Ketika dalam perjalanan ke rumahnya, tiba-tiba beliau ternampak seorang tua terbaring sakit di tepi jalan, Saidina Ali berasa kasihan lalu beliau berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, apa yang diingini oleh hatimu?”, tanya Saidina Ali.
“Wahai Ali, aku sudah lima hari terbaring sakit di tempat ini, banyak orang lalulalang, namun tiada seorang pun yang mempedulikanku. Aku ingin sekali makan buah delima.” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Saidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima yang hanya satu buah ini, sengaja telah aku beli untuk Isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah; 'Terhadap si pengemis, engkau janganlah mengherdiknya' (QS. Al-Dhuha : 10).

Juga sabda Nabi SAW yang bermaksud, 'janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan'.

Oleh sebab isterinya juga menginginkan buah delima tersebut akhirnya buah tersebut dibahagi dua. Kini ada di tangannya hanya separuh buah delima untuk isterinya. Lalu beliau meneruskan perjalanan kembali ke rumah. Tiba-tiba ada seorang lagi pengemis yang sangat kelaparan mengharapkan bantuan dari Saidina Ali. Rasa sayang yang tinggi terhadap sesama manusia, maka diberikanlah separuh lagi buah delima tersebut kepada pengemis itu.

Sampai di rumah Saidina Ali r.a menceritakan peristiwa itu kepada Isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya,

“Wahai suamiku, kenapa engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang pengemis itu, maka puaslah hatiku dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu.”

Mendengar kata-kata isterinya itu Saidina Ali merasa gembira.

Selanjutnya, di kamar Rasulullah SAW didatangi oleh Malaikat Jibril as,yang memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Saidina Ali,dan bersama  Jibril as terdapat  10 buah-buahan dari syurga sebagai pengganti buah yang telah diberikan oleh Saidina Ali kepada pengemis tadi. Nabi SAW memanggil salah seorang sahabatnya iaitu Salman al-Farisi (ada yang mengatakan bahawa lelaki itu ialah Abu Said al-Khudri ra) agar menghantar buah-buahan ini kepada Saidina Ali dan putrinya Fatimah az-Zahra.

Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Saidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu.
Setelah pintu dibuka, Saidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkkan di depan Saidina Ali, lalu Saidina Ali bertanya,

“Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”.
“Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya.
Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada 9 biji buah delima. Saidina Ali terus berkata,

“Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya 10”.

Lalu Saidina Ali r.a membacakan firman Allah SWT,
“Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amal balasannya”.(Al-An’am : 160 )

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebiji lagi buah delima yang ada ditangannya, seraya berkata,
“Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji sejauh mana KEYAKINANMU terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Kisah ini bukannya bermaksud setiap apa yang kita keluarkan akan mendapat balas terus pada masa itu juga dengan gandaan 10, namun itu juga tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.

Apa yang lebih penting untuk kita fahami, betapa tinggi dan besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan betapa hebatnya iman para sahabat.

Tazkirah : Himpunan Kata-kata Hikmah Saidina Ali Karramallahu Wajhah

Saidina Ali bin Ali Talib adalah sahabat Rasullullah S.A.W yang terulung. Beliau merupakan pahlawan yang lincah permainan perangnya malah beliau seorang ilmuan yang fasih bicaranya juga hamba Allah yang tinggi imannya.

Berikut adalah kata-kata hikmah Saidina Ali bin Ali Talib yang dipetik dari novel sejarah Islam bertajuk 'Ali bin Ali Talib - Mutiara Ilmu Islam' oleh penulis Abdul Latip Talib.

"Cukuplah bila aku merasa mulia kerana Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagi-Mu. Engkaulah bagiku sebagaimanayang aku cintai,maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai"

"Hendaklah kamu lebih memerhatikan cara amalan itu diterima berbanding banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa. Bagaimanakah amalan itu hendak diterima"

"Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya"

"Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya"

"Perkara yang patut ada pada kepimpinan adalah sikap berlapang dada"

"Pendapat seseorang tua adalah lebih baik daripada tenaga seorang muda."

"Menyokong kesalahan adalah menindas kebenaran"

"Kebesaran seseorang itu adalahbergantungkepada hatinya yang mana adalah sekeping daging"

"Mereka yang bersikap pertengahan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin"

"Jagalah ibu bapa kamu, nescaya anak-anak kamuakanmenjaga kamu"

"Bakhil dengan apa yang ada di tangan adalah tidak mempunyai kepercayaan kepada Allah"

"Kekayaan orang bakhil akan turun kepada warisnya ataupunpada angin. Tidak ada yang terpencil berbanding orang yang bakhil."

"Seorang arif adalah lebih baikdaripada kearifan. Seorang jahat adalahlebih jahat daripada kejahatan"

"Ilmu lebih baik daripada kekayaan kerana kekayaan perlu dijaga, sedangkan ilmu menjaga kamu."

"Jagalah harta bendamu dangan mengeluarkan zakat dan angkatkan kesusahanmu dengan mendirikan solat"

"Sifat menahan kemarahan adalah lebih mulia daripada membalas dendam"

"Mengajar adalah belajar"

"Bersedekahlah mengikut kemampuamu dan janganlah jadikan keluargamu miskin"

"Manusia terbahagi kepada tiga:

1. Mereka yang mengenal Allah
2. Mereka yang mencari kebenaran
3. Mereka yang tidak berpengetahuan dan tidak mencari kebenaran

Golongan yang terakhir inilah yang paling rendah dan mereka akanmengikut ketua dengan buta seperti kambing"

"Insan tak akan melihat kesalahan seorang yang bersifat tawaduk dan lemah"

"Janganlah kamu takut kepada sesiapa melainkan dosamu kepada Allah."

"Mereka yang mencari kesilapannya sendiri selamat daripada mencari kesilapan orang lain"

"Harga diri seseorang itu adalah berdasarkan apa yang dia lakukan bagi memperbaiki dirinya"

"Manusia sebenarnya sedang tidur tetapi akan bangun apabila dia mati"

"Jika kamu mempunyai sepenuh keyakinan kepada Al-Haq dan kebenaran, nescaya keyakinanmu tetap tidak berubah walaupun terbuka rahsia-rahsia kebenaran itu"

"Allah merahmati mereka yangkenal dirinya dan tidak melampui batas"

"Sifat seseorang tersembunyi di sebalik lidahnya"

"Seorang yang membantu adalah sayap orang yang meminta"

"Insan tidur di atas kematian anaknya tetapi tidak tidur di atas kehilangan hartanya"

"Barangsiapa yang mencari apa yang tidak berkaitan dengannya nescaya hilang apa yang berkaitannya"

"Mereka yang mendengar orang yang mengumpat adalah golongan mereka yang mengumpat"

Related Posts with Thumbnails